#10 Bersama Mencapai Mimpi ; Artikel ini telah diterbitkan di Majalah Jom!

Bersama Mimpi 2

Menurutmu mimpi itu seperti apa?
Seperti derasnya air menghempas-hempas tebing
lalu lambat-lambat tenang tika senja
Atau seperti Mandevilla yang meranum indah
jua selalu-selalu dirangkul erat olehmu
Atau seperti bintang yang jarang-jarang ada tetapi
engkau tetap di situ, tertunggu-tunggu?
Mimpi beginilah ia mengajarku,
Yang di dalam kaca aku melihat aku
Sedang riak biasa atau tersenyum, itu aku masih aku
Ada juga kamu yang sembunyi-sembunyi
hulurkan sekuntum Clematis putih
dari belakangku.

Mimpi Sekuntum Clematis
Nursyuhaidah A. Razak
15 Disember 2015
Sumayyah, Gombak

Apa khabar kawan?

Apa cara yang boleh aku buat untuk menyapu sedihmu kawan? Yang kembali menerbitkan senyum dari bibirmu, yang dapat hembuskan semangat pada kaki-kakimu menjejak, yang mengukuh upaya pada dinding-dinding otakmu-memaksanya padu bergerak. Optimis, sehingga sangkamu cuma satu pada Tuhan – hikmah. Senyummu yang semakin mati, biarlah ia rehat di balik-balik kertas. Sehingga satu saat, aku percaya senyummu akan munggir jua. Ia cuma perlu masa dipulih kekecewaan lalu, aku sangat memahami itu. Yang pentingnya kawan, semangatmu jangan dibiar mati. Semangat itulah cahaya yang nantinya bisa memandu perjalananmu untuk kembali bermimpi.

Orang seperti kita ini kawan, jika tiada mimpi – mati.

Mimpilah yang jadikan kita hidup dan wujud, penting dan utama di dalam dunia yang kita cipta sendiri mimpinya. Ketika orang-orang besar yang sedang jalan bermegah itu memandang dunia kita kelabu, dengan mimpilah kita percaya dunia kita punya lain warna. Ah, orang seperti kita ini kawan, manalah mahu rakan-rakan kota berkawan. Didekatnya kita sahaja sudah busuk, menurut rakan-rakan kota itu membusuk jualah fikiran kita. Berjalanlah kita dari hujung sana sehinggalah terperosok di sudut ini, tidaklah rakan-rakan kota itu mahu memandang pada sekeping hati yang masih hidup dalam sembunyi ini, yang dipandang hanyalah baju terkoyak yang sudah lusuh kekuningan pada saku di dada sebelah kiri. Ah, dari memandang kaku pada rakan-rakan kota yang sedang pergi, elok lagi kita erat-erat memejamkan mata – bermimpi. Dengan mimpilah kita bebas bercerita dengan watak-watak yang kita sendiri cipta. Lagi pula, orang seperti kita ini kawan, dinyah-pergikan orang-orang, yang kerap saja dituduh-jijikkan kota raya, yang datangnya kita tidak pernah disambut-ikhlas lagi disuruhnya kita pergi dengan tawa-herdik memetir, dengan berjiwa besarlah kita tetap pulang di sudut ini tanpa pernah membawa malu apatah lagi berkecil hati.

Engkau sendiri telah percaya bila aku katakan dunia ini sudah gila,orang-orangnya sedang menyisihkan orang seperti kita kawan. Yang duduk sambil bersila panggung di ‘Dragons Chair’ berwarna coklat tua itu sedang sibuk bekerja, sesekali dihirupnya perlahan-lahan teh pee-gee tips yang uncangnya bersalut berlian itu. Belum sempat dia menyandar selesa, loceng dari Jacob Jensen yang terletak di tembok pagar besar berwarna keemas-emasan mirip sekali dengan burung Garoda pada lambang negara Indonesia itu berbunyi berkali-kali. Masuklah 3 orang laki-laki ke dalam perut rumah, masing-masing bergaya dengan Armani berwarna indigo, navy blue dan kelabu. Dengan masih duduk bersila panggung, lelaki yang sudah separuh abad umurnya itu menyambut tamu-tamunya dengan muka yang merah-meriah. Jam bandul telah berdetik 10 kali pagi itu, keras sungguhlah orang-orang tua itu bekerja.

Engkau yang sedang menenung mataku, terus saja menggelengkan kepala bila aku bertanyakan – mana pergi hasil kerja orang-orang tua itu, ada engkau nampak kawan?

Orang-orang yang sibuk bekerja menambah harta, manakan ada masa untuk peduli tentang orang seperti kita kawan. Kita ini hanyalah syiling 1 sen yang tercicir di muka pintu Perdana hitam, jatuh pun tidaklah mahu dikutipnya kembali. Namun kerana orang seperti kita ini punya mimpi, itulah yang jadikan kita ini berjiwa besar, tidak sesekali mahu menadah tangan di pintu-pintu besar apatah lagi berlutut di celah-celah bangunan mewah kota. Biar kita dipandang lucu tidur beralaskan kotak-kotak lunyai, berbanding kita meminta-minta dengan orang yang tidak mahu memberi. Meminta tanpa usaha-dulu, itulah yang akan menjejaskan jiwa pemimpi seperti kita kawan. Putus-harap itu tiada dalam mimpi yang kita sendiri cipta, kerana engkau dan aku sudah percaya – jika mengalah dengan keadaan samalah seperti memutuskan nyawa sendiri di badan.

Ah kawan. Semakin jauh orang seperti kita ini bermimpi, jadikan kita cepat sedar tiada gunanya terus marah-marah pada orang-orang tua yang mencicip teh O panas di Grand Hyatt, orang seperti kita ini masih punya otak segar yang belum berkarat. Engkau itu,masih boleh membaca cebisan-cebisan akhbar yang melekap di lantai kaki lima,masih banyak masa berjalan kaki pergi ke Perpustakaan Negara – masih membaca, masih lagi engkau membawa pulang dua tiga judul buku lalu duduk-senyap membacanya di sudut ini. Sehingga matamu tertutup bilapun sudah tidak engkau sedar, punyalah khayal jiwamu masuk ke dalam setiap buku yang dirangkul. Katamu, engkau sering terpujuk dengan kata-kata yang engkau jumpa pada setiap baris halaman, itulah yang buatkan engkau mahu terus menyelak kertas-kertas. Hanya dengan itu, dapatlah engkau bangun esoknya dengan harapan.

Kawan, orang seperti kita ini jika tiada mimpi – mati.

Engkau telah aku pasakkan itu dengan cermat. Mimpilah yang sering menemukan kita pada diri kita semula,yang mesti mendatangkan cahaya pada arah yang menghitam lalu menimbulkan semula bulan yang tadinya disorok awan. Dengan mimpi juga orang seperti kita ini percaya akan dipertemukan jawapan kepada soalan-soalan kita yang tidak mahu dijawab orang. Orang-orang yang lalu-lalang, yang tidaklah ingin mendekat apatah lagi menyinggah di sudut ini. Namun itu jugalah yang jadikan kita sedar pada sesuatu – Orang seperti kita ini hanya dapat merasakan punya masa hadapan, pertamanya dengan bermimpi. Mimpi tidak pernah menjadikan kita orang-orang kecil yang dihalau-pergi, tetapi dengan mimpilah kita menjadi orang-orang kecil yang berjiwa besar.

Kawan, betapa mimpi juga telah menemukan engkau dan aku. Engkau yang sering datang bercerita kisah-kisah perjalanan siangmu kepadaku. Aku yang mesti mendengar dengan setia jua menaburkan kata-kata yang engkau ingin dengar, akulah yang mesti menghibur tika hidupmu sudah separuh hari dibiar-sepi. Engkau pula mesti sentiasa tercari-cari aku pada setiap orang yang engkau ketemu, kerana orang seperti aku ini kawan hanyalah satu watak yang engkau sendiri cipta lewat mimpi. Satu watak yang selalu memberikanmu harapan – bukan dari orang-orang yang telah berkecamuk otaknya mengumpul harta, namun dari sisi-sisi masyarakat yang lebih jernih daya fikir dan rentaknyalah engkau akan menemukan nilai kemanusiaan. Kemanusiaan itu yang memeluk mimpimu sampai jadi nyata. Kemanusiaan itulah yang nantinya engkau akan jumpa melalui seorang teman, teman itu akan berkata semula seperti yang selalu aku katakan kepadamu – marilah kawan, kita bersama mencapai mimpi.

**
Bingkisan ini ditulis khas kepada Rakan Jalanan,

Liza.

Ketika menulis sambil mendengar lagu-lagu dari album baru Sami Yusuf – Barakah,
Liza yang masih aku ingat wajahnya ketika berkira-kira mahu mengambil seplastik kuah lebih sambal nasi lemak yang dihulur temanku, beria-ia temanku menghulur, tetap jua Lizatidak mahu menyambut. Wajahnya ketika itu bukanlah takut-takut atau malu-malu, tetapi wajah yang memberitahu ‘berilah kepada Rakan Jalanan lain yang lebih perlu’. Aha, Liza mengambil juga huluran temanku itu namun tidak lama setelah itu, dia meletakkan semula kuah lebih sambal nasi lemak itu di atas meja yang biasanya dikumpulkan berbungkus-bungkus nasi lemak sebelum subuh di Masjid Jamek itu. Liza seperti gelandangan lain. Yang tidak aku tahu banyak cerita tentangnya, namun istimewanya gelandangan di sini orang-orang memanggilnya ‘Rakan Jalanan’.

Nota penulis: Tema ‘Mimpi’ dipilih penulis sempena Mega OutBox 2.0 anjuran OutBox
Malaysia yang akan berlangsung pada 19 & 20 Mac 2016 dengan bertemakan ‘’Dare To
Dream’’. Pendaftaran sudah dibuka. Maklumat lanjut hubungi 0176552313.

*** Artikel ini telah diterbitkan di Majalah Jom! pada 19 Februari 2016.

Mencari1

#9 Nota Kecil: Kau Tahu Bila Harus Mencari

Norashikin, 13.10.15

Aku berjalan sepi. Di hadapan aku, adalah kau. Sedang di belakang kau, adalah aku.

Mahu sekali aku berlari ke hadapan dan mengatakan yang aku bersyukur punyai kau. Tapi aku tahan diri.

Aku masih mahu melihat kau berjalan di hadapan aku. Adakah kau akan menoleh ke belakang melihat aku dan datang ke aku, sambil berkata;

“Marilah berjalan bersama aku. Aku mahu kau ada di sebelah aku.”

Aku mahu begitu.

Sudah lama aku menunggu, kau masih belum menoleh ke belakang. Tidak apa lah, melihat kau jauh ke hadapan, sudah sungguh aku syukuri. Sekurangnya, kau masih mencari aku bila kau tahu bila harus mencari aku.

Bunga

#8 Nota Kecil: yang dari Lelaki

Aku petik bunga yang indah ini agar ia hiaskan taman sanubariku, wanginya semerbak dalam kamar hatiku, cantiknya berseri dalam hari-hariku, saat aku melamar kamu dahulu, senyum ayu kamu berikan, bergetar jiwa aku tika itu, membara rasa cinta ini.

Aku ingat lagi tika itu, setelah kamu halal aku miliki, tangis syukur yang kamu hadiahkan, sekali lagi kamu senyum kepadaku, bergetarlah jiwa aku melihatnya, bahagianya bukan kepalang.

Wahai bungaku, kamu tersangatlah indah padaku, sentiasa kembang mekar, durimu tidak pernah melukakan aku, harummu menyenangkan perjuanganku. Api cinta yang kamu nyalakan ini, semarakkan lagi semangatku, sabarnya kamu menemaniku, di bawah sayap ini kamu setia menunggu. Pengorbananmu sayang, aku hargai.

Bungaku ini, dihinggap rama-rama iman sentiasa, madu kedamaiannya jelas terasa, embunnya mengalir seinfinitinya, cintanya ia pada yang Maha Esa, dengan taat kepadaku -lelakinya yang setia.

Keikhlasan cinta kepada Tuhan -kamu buktikan dengan mentaati aku, sungguh bungaku yang indah, kamu hadiah dunia yang istimewa, hadirnya kamu bisa menyembuh duka, dengan cinta itu sebagai ubatnya.

Cintamu wahai bungaku, bisa menikam batu-batu di hadapanku, bisa luluh jiwa-jiwa yang menyakitiku, bisa membangkit kesejahteraan hati yang bergelora, tenang aku memegang janji tiada resahnya, impian kita akan aku pasakkan nyata -damai kamu di sisiku masihnya ada.

Bungaku yang satu ini, akanku tunas ia sebaik-baiknya.

Nukilan: Nursyuhaidah A. Razak, 21 Oktober 2010, 09:09 PM.

KEMASKINI: 8 Disember 2015, 10.39 PM, TAJUK ASAL: Bunga Sang Mujahid

Believe in Your Team

#7 Bagaimana Meletakkan ‘PERCAYA’ Kepada Teammate?

Norashikin Ali Amat,
Network Coordinator OutBox.

” If you’re in the best team in the world, you or your teammate have to win. ” – Fernando Alonso

LANGKAH PERTAMA

Teammate atau pasukan adalah orang yang (i) anda jumpa (ii) anda kenal (iii) anda berkenalan (iv) anda bercerita (v) dan anda berbuat sesuatu yang anda mahu buat serta anda rasa. Anda perlu buat untuk mencapai impian dan menggunakan semaksima mungkin kebolehan serta potensi yang ada dalam diri untuk disumbangkan pada jalan yang betul dan lurus.

Semuanya memerlukan satu langkah yang saya namakan; Permulaan.

Memulakan sesuatu tidak sesukar untuk meneruskan jalan. Mulakan saja apa yang anda rasa mahu buat, kemudian untuk meneruskan pada fasa seterusnya, ia memerlukan satu proses yang panjang dan pastilah akan ada bermacam halangan yang sedang menanti di hadapan untuk menguji ketahanan anda.

Untuk berjaya menempuh segala halangan sepanjang jalan, anda memerlukan pasukan yang tepat. Tepat menurut seorang bernama Norashikin adalah; mahu bersama membina sesuatu yang zero ke hero.

Continue reading

Berbahasa menampakkan budi

#6 Mengapa Kena Paksa Diri Belajar Bahasa Asing?

Nursyuhaidah A. Razak

If you talk to a man in a language he understands, that goes to his head. If you talk to him in his language, that goes to his heart. -Nelson Mandela

Saya mula sedar kepentingan berbahasa lebih dari satu pada usia yang agak lewat. Saya sudah 23 tahun dan baru sahaja mula belajar bahasa asing. Jika anda lebih muda, gunakan peluang usia yang ada sebaiknya. Sementara sedang  segar, sedang tinggi rasa ingin tahu dan belum didoktrinkan dengan banyak benda, eloklah usia dan tenaga kita gunakan untuk belajar benda baru.

Namun jika ada keinginan untuk belajar, tidak kiralah berapa usia anda sekalipun, marilah belajar! Barangkali kita boleh ambil iktibar dari sisi kehidupan Imam Ibn Thabari,

” Hendaknya manusia tidak meninggalkan kesempatan mencari ilmu hingga akhirnya. ”

Continue reading

#5 Selepas Menutup Buku, Seterusnya Buat Apa?

Norashikin Ali Amat

” Bukan sekadar membaca, tetapi mempertemukan antara satu buku dengan yang lain. Mempertemukan mereka dengan realitas lalu menemukan sintesis dan membuat tulisan kita sendiri. ” – Eiji Yoshikawa

DIMARAHI LIBRARIAN

Pernah sewaktu ketika dahulu saya dimarahi oleh librarian kerana menconteng buku menggunakan pensel. Katanya- Buku ini buku bersama. Benar dan tepat sekali apa yang dikatakan olehnya. Cumanya, entahlah saya sudah terdidik begitu sejak di bangku sekolah lagi. Melihat buku yang hanya terhias dengan tulisan yang telah dicetak awal, membuatkan saya rasa yang saya sebenarnya tidak membaca apa-apa pun.

Saya fikir selepas dimarahi oleh librarian tersebut, saya insaf. Rupanya tidak mudah ya untuk menghilangkan tabi’at dan kebiasaan yang sudah lama bersarang dalam diri kita. Saya masih belum dapat mengawal perasaan untuk menconteng buku sewaktu sedang membaca.

Tapi janganlah anda yang membaca ini menuduh saya seorang yang vandalisme.

Continue reading

Niatisme1

#4 Niatisme: Wabak Yang Sering Melanda Penulis

Nursyuhaidah A. Razak

Yang menulis kerana percaya, engkau membaca.

Sudah jam 2.32 pagi ketika saya mengetuk papan kekunci ini. Sudah berkehendakkan tidur pada awalnya, namun bangun semula setelah berselirat idea dan desakan di kepala untuk saya menulis berkaitan ini. Beberapa minit setelah melalui perbincangan di whatsApp, saya terfikir-fikir akan tujuan sebenar saya mahu menulis selama ini.

Tetapi yang perlu ditanya dahulu, apa niat awalnya?

Saya kira, niat adalah suatu yang subjektif. Ianya tidak tetap pada satu dan seringkali berubah-ubah mengikut pada tujuan kita. Jika kita mahu menulis untuk ketengahkan gaya penulisan kita pada orang. Itulah niat kita. Jika kita menulis untuk menarik orang membeli produk kita. Itulah niat sebenar kita. Jika kita menulis untuk dapatkan banyak ‘like’ dan ‘share’, maka memang itulah niat kita. Jika kita menulis untuk marketkan diri, itulah niat pertama kita.

Bagaimana pula jika niat itu kita letakkan di ruang objektif?

Continue reading